Gagasan Rakyat Yakin Rampas Kerusi Tanjung Aru Pada PRN17

Gagasan Rakyat Yakin Rampas Kerusi Tanjung Aru Pada PRN17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru daripada Parti Warisan dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan datang.

Ahli Jawatankuasa Bahagian Tanjung Aru, Dr. Mohd Ritchie Jay Cheng berkata keyakinan itu berasaskan usaha berterusan gabungan tersebut dalam mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

“Kami percaya rakyat Tanjung Aru dapat menilai sendiri siapa yang benar-benar membawa kemajuan untuk Sabah.

“GRS sudah membuktikan kemampuannya melalui pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan jaket keselamatan dan lampu isyarat kepada nelayan berdaftar di Kampung Sembulan Lama pada Ahad lalu.

Sebanyak 150 unit bantuan keselamatan terdiri daripada 50 jaket keselamatan dan 50 lampu isyarat bagi setiap kawasan diagihkan kepada nelayan di Kampung Sembulan Lama, Kampung Tanjung Aru dan Pulau Gaya.

“Kami prihatin terhadap keselamatan nelayan, khususnya ketika berada di laut. Ini hanya fasa pertama, dan kami merancang untuk perluas program ini ke kawasan lain dalam masa terdekat,” tambahnya.

Ketika ini, kerusi DUN Tanjung Aru disandang oleh Datuk Junz Wong dari Parti Warisan yang memenanginya untuk penggal kedua pada PRN 2018.

Dr. Ritchie berkata terdapat 90 cawangan parti Gagasan Rakyat di sekitar Tanjung Aru dengan Lebih 2,700 keahlian.

“Kami juga mempunyai keahlian teramai di kawasan ini, itulah kami berani dan juga kami memang orang lama di sini.

“Lagipun, rakyat dapat merasai ekonomi yang lebih stabil dibawakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya, sambil menambah terdapat lebih 20,000 pengundi di kawasan tersebut.