KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan sebuah politeknik di Kota Marudu bagi memenuhi keperluan pelajar dan belia di kawasan utara Sabah.
Bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Jimson Majemal, berkata lokasi strategik daerah itu yang berada di tengah-tengah kawasan seperti Kota Belud, Kudat, Pitas, Sandakan, Beluran dan Ranau menjadikannya sesuai sebagai pusat pendidikan teknikal.
“Sebagai kerajaan berwawasan, Kerajaan Perpaduan Madani perlu peka terhadap keperluan belia di luar bandar serta keluasan geografi Sabah,” katanya.
Jimson, anak jati Tandek yang juga Pemangku Presiden SAFA Daerah Kota Marudu, menambah bahawa perkembangan pesat Kota Marudu wajar disokong dengan penubuhan institusi seperti politeknik.
“Jika Sandakan ada UMS, Tawau ada UiTM dan Keningau ada IPG, daerah utara Sabah juga patut menerima kemudahan setara, sekurang-kurangnya sebuah politeknik,” tegasnya dalam sebuah kenyataan.






