
TUARAN, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tuaran telah merampas barang kawalan yang disyaki minyak diesel bersubsidi dalam operasi ‘Ops Tiris’ di sebuah stor tapak pembinaan di Rugading, Tuaran pada 28 Julai lepas.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Tuaran,
Saripuddin Moleng berkata pihaknya melakukan serbuan yang dijalankan pada jam 11.00 pagi.
Katanya, pihaknya telah menjumpai dan menyita minyak diesel yang dianggarkan sebanyak 5,300 liter dalam sebuah tangki besi berbentuk segiempat.
Mengulas lanjut, katanya ia dilengkapi dengan ‘electronic meter pump’ dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM 25,700.
“Seorang lelaki warga tempatan yang
dipercayai penyelia stor di lokasi serbuan turut ditahan untuk direkodkan keterangan bagi tujuan membantu siasatan awal kes ini di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Risikan telah dijalankan selama tiga hari oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tuaran sebelum serbuan dijalankan.
“Berdasarkan keterangan awal yang direkodkan daripada pekerja stor ditempat kejadian, barang kawalan tersebut diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah.
“Walau bagaimanapun pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan dan juga permit atau lesen kebenaran untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Ops Tiris dilancarkan sejak 1 Mac 2023 bertujuan untuk membanteras penyelewengan dan ketirisan minyak diesel bersubsidi,” katanya.