SEPANYOL: Pemain sensasi Liverpool dan penyerang kebangsaan Portugal, Diogo Jota,28 tahun), serta adiknya, André Filipe da Silva, 25, maut dalam nahas kereta di wilayah Zamora, Sepanyol.
Menurut Pasukan Polis Awam Sepanyol (Civil Guard), Lamborghini yang dipandu Jota dipercayai mengalami masalah tayar meletup ketika menyalip hingga menyebabkan kenderaan terbabas dan terbakar sejurus keluar dari laluan di kawasan Cernadilla, berhampiran Zamora.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jota, yang baru mendirikan rumahtangga dua minggu lalu dengan pasangannya, Rute Cardoso adalah seorang bapa kepada tiga orang anak.
Beliau telah merekodkan 182 penampilan dan 65 gol bersama Liverpool sejak menyertai kelab itu pada 2020, meraih tiga trofi domestik termasuk juara Liga Perdana pada musim lalu, serta mencatat 49 penampilan antarabangsa bersama Portugal.
Liverpool FC*menyifatkan kematian Jota sebagai satu kehilangan “yang meruntun jiwa” dan berjanji memberikan sokongan penuh kepada keluarga.
Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) turut menyuarakan kesedihan mendalam dan mencadangkan sepuluh saat hening di perlawanan Kejohanan Wanita Eropah akan datang sebagai tanda penghormatan .
Perdana Menteri Portugal, Luís Montenegro, menyatakan kesedihan atas pemergian “dua juara yang tidak tergantikan”, manakala UEFA turut bersetuju menghormati mereka dengan saat hening semasa kejohanan wanita Eropah.
Media Sepanyol memetik laporan kecemasan mengatakan insiden berlaku sekitar 12.30 pagi waktu tempatan di kilometer 65 jalan A-52. Jota dan adiknya dipercayai mengalami kecederaan parah akibat kebakaran hebat selepas kenderaan mereka terbabas.






