Lawatan ACCI Sabah ke Kazakhstan Buka Laluan Kerjasama Strategik Pelbagai Sektor

Lawatan ACCI Sabah ke Kazakhstan Buka Laluan Kerjasama Strategik Pelbagai Sektor

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lawatan rasmi selama tiga hari oleh ASEAN Chamber of Commerce & Industry (ACCI) Sabah Chapter ke Republik Kazakhstan telah membuka ruang kerjasama strategik antara Sabah dan negara Asia Tengah itu dalam sektor pelaburan, pelancongan, pendidikan, teknologi, minyak & gas serta pelancongan kesihatan.

Yang Dipertua ACCI Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening berkata, lawatan tersebut yang dijalankan atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atameken) turut melibatkan pertemuan bersama agensi kerajaan Kazakhstan, Tourism Malaysia, dan wakil perdagangan Kedutaan Malaysia di negara berkenaan.

Menurut Nordin, rakyat Kazakhstan kini semakin cenderung memilih Asia Tenggara khususnya Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama berikutan ketidaktentuan geopolitik di Eropah Timur dan Timur Tengah.

“Penerbangan terus dari Almaty ke Kuala Lumpur yang kini beroperasi empat kali seminggu dijangka bertambah kepada lima kali seminggu, membuka potensi besar kemasukan pelancong ke Sabah terutama ke Kota Kinabalu dan Semporna,” katanya.

Namun jelas beliau, promosi agresif perlu digiatkan agar Sabah mampu menyaingi destinasi seperti Langkawi yang kini lebih dikenali dalam kalangan rakyat Kazakhstan.

Lawatan tersebut turut membuka ruang kepada pelabur Sabah dan Malaysia untuk menyertai projek besar di Kazakhstan seperti pembinaan kilang tali sawat (conveyor belt) untuk kegunaan industri agrikultur dan perlombongan; pemprosesan sisa mineral teknogenik (TMW) yang mengandungi logam bernilai tinggi dari era Soviet.

Seterusnya eksplorasi lapangan minyak Tortai yang memiliki lebih 82 juta tong rizab geolog Projek kenderaan elektrik (EV) di mana Proton kini sudah memulakan pembinaan kilang EV di sana.

Selain sektor fizikal dan pelancongan, Kazakhstan turut menunjukkan minat terhadap pembangunan perbankan Islam, teknologi kewangan (fintech) serta menjalin kerjasama pendidikan yang mana Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat berpotensi menjadi rakan strategik untuk program pertukaran pelajar dan pengukuhan penguasaan Bahasa Inggeris.

Malaysia kini antara destinasi rawatan kesihatan pilihan rakyat Kazakhstan, membuka ruang kepada hospital swasta dan pusat rehabilitasi Sabah untuk mengembangkan pasaran mereka dalam sektor pelancongan kesihatan antarabangsa.

Nordin menegaskan komitmen ACCI Sabah untuk menjadi pemudah cara bagi menghubungkan pelabur dan pelancong antara kedua-dua negara.

“Kami akan menyusun tindakan susulan dan bekerjasama dengan agensi seperti MATRADE, MITI, MIDA, Tourism Sabah dan pemain industri swasta agar potensi ini dimanfaatkan sepenuhnya,” jelasnya.