Dagangan Sabah Kekal Kukuh, Tiada Kejatuhan Seperti Didakwa – Phoong

Dagangan Sabah Kekal Kukuh, Tiada Kejatuhan Seperti Didakwa – Phoong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe menegaskan bahawa dakwaan perdagangan Sabah merosot secara mendadak adalah tidak tepat, susulan penjelasan terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut kenyataan DOSM bertarikh 4 Julai 2025, perdagangan Sabah kekal melebihi RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut.

Jumlah dagangan bagi tahun 2024 meningkat 2.7 peratus kepada RM107.78 bilion berbanding RM105 bilion pada 2023, termasuk urus niaga dengan Semenanjung dan Sarawak.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ekonomi Sabah kekal stabil dan berada di landasan pertumbuhan yang positif,” katanya.

Mengulas kekeliruan berhubung angka RM158 bilion pada 2023 yang tular sebelum ini, Phoong menjelaskan bahawa beliau sendiri telah meminta penjelasan rasmi daripada DOSM.

“Jika lihat trend dari 2019 hingga 2022, dagangan Sabah hanya sekitar RM36 hingga RM58 bilion. Tapi pada 2023, tiba-tiba melonjak ke RM158 bilion sebelum turun kepada RM43 bilion pada 2024,” katanya.

DOSM kini menjelaskan bahawa nilai dagangan sebenar mengikut negara asal dan destinasi pada 2023 adalah RM41.4 bilion, dengan eksport berjumlah RM31 bilion, selari dengan angka 2024 iaitu RM43 bilion.

“Saya amat berpuas hati dengan penjelasan ini. Ini membuktikan tiada kejatuhan mendadak seperti yang didakwa,” tegasnya.

Phoong turut memaklumkan bahawa eksport barangan pembuatan Sabah meningkat 9.3 peratus kepada RM12 bilion pada 2024 iaitu petanda positif untuk sektor perindustrian negeri.

“Penjelasan DOSM telah mengembalikan keyakinan terhadap prestasi sebenar perdagangan Sabah. Maka, segala dakwaan kononnya dagangan kita merosot adalah tidak berasas,” katanya.