KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif menafikan dakwaan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana terpaksa akibat kes rasuah yang melibatjan beberapa pemimpin.
Menjawab tuduhan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, Norazlinah menyifatkan kenyataan tersebut sebagai liar, tidak berasas dan bermotif politik jahat untuk menanam persepsi negatif terhadap GRS.
“Tuduhan kononnya GRS terpaksa bekerjasama dengan PH demi menyelamatkan pemimpin yang berdepan kes mahkamah adalah penghinaan terhadap kematangan politik Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kepimpinan GRS keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Norazlinah menegaskan bahawa kerjasama antara GRS dan PH dibina atas dasar kepercayaan, kestabilan dan kenang budi, bukan tekanan politik mahupun demi melindungi individu tertentu.
“PH berdiri teguh bersama kerajaan negeri ketika cubaan rampasan kuasa dalam insiden ‘Langkah Kinabalu’. Tanpa sokongan itu, kerajaan GRS mungkin telah tumbang. Maka, meneruskan kerjasama adalah satu bentuk menghargai kepercayaan,” ujarnya.
Beliau turut menyelar parti Warisan yang menurutnya mengamalkan pendekatan politik oportunis apabila bertanding bersendirian dalam PRU15 walaupun sebelum itu pernah bekerjasama dengan PH dalam PRN Sabah 2020.
Norazlinah berkata, prestasi buruk Warisan dalam PRU15 yang hanya memenangi tiga kerusi Parlimen, adalah bukti penolakan rakyat terhadap pendekatan politik tersebut.
Berhubung dua ADUN GRS yang kini menghadapi pertuduhan mahkamah berkaitan lesen mineral, Norazlinah mengingatkan supaya isu itu tidak dipolitikkan dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang.
“GRS tidak pernah mengganggu proses kehakiman. Semua tertuduh berhak mempertahankan diri dan rakyat harus menilai berdasarkan fakta, bukan persepsi,” tegas beliau.
Norazlinah optimis bahawa kerjasama GRS–PH akan terus memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dan menegaskan bahawa GRS akan kekal sebagai teras kerajaan negeri untuk memperjuangkan agenda “Sabah First.”
Menempelak kenyataan Munirah yang mendakwa Warisan disisih kerana terlalu ‘lantang’ mempertahankan hak Sabah, beliau berkata, “Kalau benar lantang boleh majukan negeri, kenapa Warisan tumbang? Kita perlukan pemimpin yang bawa hasil, bukan sekadar suara lantang tanpa kesan.”
Norazlinah turut menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan politik Warisan, yang kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, sambil mempertikaikan mengapa mereka masih bersama PH di Putrajaya jika benar menolak kerjasama.
“Adakah Warisan sebenarnya takut realiti politik kerjasama GRS–PH di Sabah akan mengancam kedudukan mereka dalam PRN nanti?” soal beliau.
Norazlinah menyeru rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan retorik politik sempit, sebaliknya terus menyokong kepimpinan yang komited membela kebajikan dan masa depan negeri.
“Kerjasama ini bukan untuk selamatkan sesiapa. Ia demi memastikan Sabah tidak kembali ke kancah ketidakstabilan,” katanya.






