Saddil Ucap Selamat Tinggal, Kembali Ke Indonesia Selepas Setengah Dekad Bersama Sabah...

Saddil Ucap Selamat Tinggal, Kembali Ke Indonesia Selepas Setengah Dekad Bersama Sabah FC

0
SHARE

KOTA KINABALU: Selepas hampir lima musim mencipta nama bersama Sabah FC, pemain sayap lincah kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani, akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada The Rhinos untuk kembali ke tanah air bagi menghadapi cabaran baharu dalam karier bola sepaknya.

Saddil, 26, telah menjadi tonggak penting buat Sabah sejak menyertai kelab itu pada 2020.

Beliau memainkan peranan besar dalam membantu pasukan menduduki tempat ketiga Liga Super selama tiga musim berturut-turut serta layak ke separuh akhir Piala AFC 2023.

Meskipun pihak pengurusan Sabah FC belum mengesahkan secara rasmi perpindahan pemain itu, Saddil sendiri memberi bayangan kuat bahawa masanya bersama pasukan tersebut hampir tiba ke penghujung.

Dalam satu episod podcast Ko Apa Tau Oh yang dimuat naik di TikTok, Saddil berkongsi luahan hatinya kepada seluruh warga Sabah FC, termasuk penyokong setia pasukan.

“Saya sangat berterima kasih kerana tidak semua orang boleh menerima saya sebegini.

“Ramai anggap saya budak nakal, tetapi saya hanya jadi diri saya sendiri. Nama saya jadi baik di Sabah kerana sokongan orang di sini,” katanya.

Dia menyebut nama Abang Tora Bola dan Abang Farish yang banyak membantu perjalanan kariernya di Sabah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan, jurulatih dan semua pemain yang pernah bersama saya. Terima kasih atas ilmu, pengalaman dan peluang yang diberikan. Semoga ALLAH lindungi anda semua.

“Paling istimewa, buat penyokong Sabah yang setia hampir lima tahun ini. Tanpa anda saya bukan siapa-siapa. Saya sangat bangga membawa nama Sabah.

“Saya akan merindui negeri ini dan saya harap kita akan bertemu lagi pada masa akan datang,” ujarnya penuh emosi.

Saddil turut menitipkan pesan kepada penyokong agar terus memberi sokongan kepada pasukan walau siapa pun yang menyarung jersi selepas ini.

“Ini bukan tentang pemain, tapi tentang lambang di dada, lambang Sabah FC,” tambahnya.

Sementara itu, media Indonesia, Tribune News, melaporkan Saddil berkemungkinan besar akan menyertai pendahulu Liga 1 Indonesia musim depan di bawah bimbingan jurulatih Bojan Hodak, bagi memperkuat barisan serangan pasukan tersebut.

Dengan pemergian Saddil, satu era berakhir buat Sabah FC, namun legasi yang ditinggalkan pemain sayap berpotensi tinggi ini pasti akan terus dikenang dalam sejarah bola sepak negeri itu.