KOTA KINABALU: Beberapa jambatan kayu utama yang menghubungkan rumah-rumah di Kampung Sembulan Tengah dan Kampung Sembulan Lama telah dibaik pulih dalam satu program gotong-royong yang diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng.
Kerja-kerja tersebut dilaksanakan sebagai tindakan kecemasan berikutan kerosakan akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Antara pembaikan yang dilakukan termasuk penggantian papan lantai yang reput dan pengukuhan struktur asas jambatan menggunakan bahan yang disumbangkan oleh Dr. Ritchie bersama pasukannya.
Menurut Dr. Ritchie, inisiatif ini bukan bermotifkan politik walaupun Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) semakin hampir.
“Inisiatif ini bukan kerana PRN17. Gotong-royong seperti ini adalah sebahagian daripada semangat kesukarelawanan dan nilai kebersamaan yang kami pegang sekian lama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa bantuan yang diberikan adalah berlandaskan keikhlasan dan komitmen jangka panjang terhadap masyarakat.
“Ini bukan untuk meraih pujian sesiapa, tetapi lahir daripada keikhlasan yang telah kami usahakan secara konsisten sejak puluhan tahun melalui penglibatan dalam NGO.
“Kami bantu setakat mana yang termampu,” jelasnya lagi.
Dr. Ritchie turut menambah bahawa jambatan-jambatan kayu di kawasan tersebut saling berhubung antara satu sama lain dan merupakan laluan penting bagi penduduk.
“Gotong-royong ini membuktikan bahawa PGRS Tanjung Aru sentiasa dekat dengan rakyat.

“Kami akan teruskan usaha ini secara berterusan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan komuniti kita bersama,” katanya.
Gagasan Rakyat Tanjung Aru turut memberi jaminan bahawa inisiatif seumpama ini akan diteruskan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan mereka Kepada masyarakat tanpa mengira masa.






