G57 Tawar Bantuan Guaman untuk Keluarga Zara Qairina, Desak Ketelusan

G57 Tawar Bantuan Guaman untuk Keluarga Zara Qairina, Desak Ketelusan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) menyuarakan kebimbangan terhadap siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina, yang dipercayai melibatkan insiden buli di sebuah sekolah di Papar.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya akan menyediakan bantuan guaman tambahan dan menasihati keluarga mangsa untuk mempertimbang tindakan saman sivil terhadap pihak sekolah dan mana-mana yang terlibat.

“Kami menerima pelbagai maklumat tidak rasmi bahawa siasatan ini didakwa diperlambatkan atau ‘dilindungi’ kerana kemungkinan melibatkan anak kepada individu bergelar VVIP. 

“Jika benar, ini adalah satu pencabulan keadilan yang amat serius, dan G57 tidak akan berdiam diri,” tegasnya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, G57 pada awalnya memilih untuk menunggu hasil siasatan polis dengan penuh hormat, namun kelambatan berterusan telah menimbulkan keresahan masyarakat.

Beliau turut menekankan bahawa tiada siapa boleh berada di atas undang-undang dan menyeru reformasi sistem pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar.

“Keadilan bagi satu anak bangsa adalah keadilan bagi semua,” kata Zulkarnain.