KOTA KINABALU: Seorang wanita berkongsi pengalaman panas selepas menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu yang didakwa tidak mempunyai penghawa dingin sepanjang penerbangan.
Menerusi satu hantaran Facebook, pengguna bernama Kustiana Jani meluahkan rasa kecewa dan terkejut apabila terpaksa menahan panas selama lebih dua jam di dalam kabin pesawat tanpa aliran udara sejuk.
“Pertama kali dalam hidup, umur 46 tahun naik kapal terbang yang teda penghawa dingin…Bayangkanlah bah, 2 jam 15 minit tanpa aircond!” katanya.
Pada awalnya, beliau menyangka ketiadaan pendingin udara hanyalah sementara ketika pesawat bersiap untuk berlepas, namun ternyata sepanjang penerbangan sehingga mendarat di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, suasana panas berterusan.
“Saya tertidur kejap, bangun balik sebab berpeluh. Sandi tau kepanasan. Untung siapa yang ada bawa kipas viral tu,” katanya, merujuk kepada kipas tangan kecil yang tular digunakan ramai ketika cuaca panas.
Menurutnya, sebaik tiba dan bangun dari tempat duduk, dia sempat mengeluh kepada kru kabin berhubung keadaan dalam pesawat.
“Ada pramugari dengar saya membebel. Terus dia jawab, ‘Kami sudah sedaya upaya puan, minta maaf puan’. Diam jak saya… malas mau ulas,” katanya.
Netizen turut memberikan reaksi simpati dan mempersoalkan tahap penyelenggaraan pesawat tersebut.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak syarikat penerbangan berkenaan.
Isu itu mengundang perhatian ramai, apatah lagi ketika negara sedang berdepan cuaca panas melampau.






