SANDAKAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) optimis untuk mengekalkan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kekuatan jentera dan sokongan akar umbi yang semakin kukuh sejak penyertaan Datuk George Hiew Vun Zin ke dalam parti tersebut pada Mac 2023.
“Kita melihat ‘track record’ Gagasan Rakyat di Karamunting dalam tempoh hampir tiga tahun ini sangat memberangsangkan. Saya percaya ia mampu menyumbang satu kerusi penting kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat persiapan akhir PRN-17 di pejabat bahagian parti itu di Jalan Laila, Sandakan, semalam.
Masiung yang juga Penyelaras Zon 10 Gagasan Rakyat memaklumkan bahawa gerak kerja jentera pilihan raya telah tersusun rapi, dengan ketiga-tiga sayap utama Pemuda, Wanita dan Beliawanis telah digerakkan sejak penghujung tahun lalu.
Tambahnya, parti-parti komponen GRS dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat kawasan turut giat memperkukuh jentera melalui pelbagai program politik berskala kecil dan besar menjelang hari pengundian.
“Semua enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah diaktifkan dan saya yakin calon GRS yang diketuai George mampu memperoleh majoriti lebih besar kali ini,” katanya.
Dalam PRN-14 dan PRN-15 lalu, George Hiew memenangi kerusi Karamunting atas tiket Warisan sebelum menyertai Gagasan Rakyat pada tahun 2023.
Beliau turut pernah memegang jawatan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Sementara itu, George Hiew memaklumkan bahawa lebih 85 peratus ketua cawangan Warisan di kawasan tersebut telah menyatakan sokongan dan turut berhijrah bersama beliau ke dalam Gagasan Rakyat.
George kini merupakan Timbalan Pengerusi Penyelaras Zon 10 Gagasan Rakyat Sandakan dan terus memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan parti dengan rakyat setempat menjelang PRN-17.






