TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menjamin kestabilan politik di negeri ini kerana ia merupakan gabungan lapan parti tempatan yang berfokus kepada pembangunan Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, kestabilan politik itu telah menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri sejak GRS mengambil alih tampuk pemerintahan.
“GRS mesti terus mentadbir negeri ini demi kesinambungan kepada peningkatan ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Beliau yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Agung Tahunan ke-40 PBS Bahagian Telupid di Dewan Orang Ramai, Kampung Telupid, di sini kelmarin.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa mana-mana penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini akan terus mewakili GRS pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera dan ahli PBS Telupid untuk bersatu hati serta memberikan sokongan padu kepada Ketua Bahagian PBS Telupid merangkap ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum agar terus mempertahankan kerusi itu pada PRN akan datang.
“Beliau (Jonnybone) sentiasa lantang bersuara di DUN dan komited bekerja demi kesejahteraan rakyat Telupid. Maka adalah wajar untuk kita memastikan kemenangan beliau sekali lagi,” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
Dr. Joachim turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi Penganjur, Marcellus Jeffrey serta barisan jawatankuasa PBS Bahagian Telupid atas kejayaan menganjurkan persidangan tersebut.
Beliau juga memberikan penghargaan kepada Penasihat Perdana PBS, Datuk Seri Michael Asang yang merupakan mantan ADUN Labuk dan turut hadir dalam majlis itu.
“Perlu diingat, DUN Telupid dahulu merupakan pecahan daripada DUN Labuk, dan Datuk Seri Michael Asang pernah memainkan peranan besar di kawasan ini,” katanya.
Turut hadir ialah ADUN Labuk yang juga Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Samad Jamri serta wakil-wakil daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Gagasan Rakyat Bahagian Telupid.
Sementara itu, Datuk Jonnybone turut menzahirkan penghargaan kepada Dr. Joachim atas kesudian menghadiri majlis berkenaan walaupun jadualnya padat, serta berterima kasih atas peruntukan khas KKTP bagi membaik pulih bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Daerah Telupid, selain beberapa perubahan enakmen berkenaan yang juga akan dilaksanakan untuk menambah baik institusi tersebut.






