Pemaju Sabah Tawar Diskaun Rumah Hingga 10 Peratus Untuk Ahli Kesatuan

Pemaju Sabah Tawar Diskaun Rumah Hingga 10 Peratus Untuk Ahli Kesatuan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga pemaju perumahan di Sabah menawarkan diskaun khas antara 5 hingga 10 peratus bagi pembelian rumah pertama kepada pemegang Kad Pekerja MADANI yang juga ahli kesatuan sekerja.

Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh kebajikan pekerja di negeri ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim sempena Perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja Peringkat Negeri Sabah 2025 di International Technology & Commercial Centre (ITCC), yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada Ahad.

Majlis julung kali diarakan itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta terdiri daripada pemimpin kesatuan, ahli, wakil agensi kerajaan dan pihak industri.

Selain tawaran diskaun, KESUMA turut melancarkan Pusat Sehenti Tenaga Kerja Sabah yang menyatukan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung, melibatkan agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja, PERKESO, NIOSH, JHEKS dan HRD Corp. 

Langkah itu membolehkan pekerja mengakses urusan buruh dengan lebih mudah dan cepat.

Steven turut mengumumkan bantuan guaman percuma bagi pekerja berpendapatan rendah di Sabah melalui kerjasama dengan Sabah Law Society, khususnya untuk kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia.

Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh solidariti pekerja, meningkatkan perlindungan sosial dan memperkukuh hubungan industri demi kemajuan ekonomi negeri.