Masiung Cadang Hukuman Sebat dan Akta Lebih Berat Bendung Kes Buli Pelajar

Masiung Cadang Hukuman Sebat dan Akta Lebih Berat Bendung Kes Buli Pelajar

0
SHARE

TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mencadangkan supaya undang-undang khusus berkaitan jenayah buli diwujudkan dengan hukuman lebih berat, termasuk sebatan, terutama bagi kes yang melibatkan kematian mangsa.

Beliau berkata, akta sedia ada dilihat tidak cukup memberi pengajaran kepada pelaku buli, terutamanya dalam kalangan pelajar, kerana tiada peruntukan khusus yang benar-benar menakutkan mereka.

“Selain kes yang melibatkan kematian, jenayah serius termasuk mencederakan mangsa hingga parah perlu dimasukkan dalam cadangan akta tersebut. Hukuman sebat adalah lebih praktikal untuk penjenayah juvana, sebagai keadilan kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa,” tegasnya.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bertaraf menteri berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam Daerah Telupid/Tongod di Dewan Simpang Entilibon, kelmarin.

Beliau mengulas kejadian buli sehingga menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, pada 16 Julai lalu.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di parit asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I dan meninggal dunia keesokan harinya.

Menurut Masiung, ramai remaja dan ibu bapa sedar bahawa pesalah juvana hanya berdepan hukuman penjara beberapa tahun atau denda, meskipun sabit kesalahan membunuh atau mencederakan mangsa.

Katanya, selagi tiada undang-undang khusus yang lebih berat, kes bunuh akibat buli di sekolah dan asrama sukar dibendung.

“Malah, kelemahan peruntukan sedia ada dilihat menjadi faktor kekerapan kes buli di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi sehingga ada yang berakhir dengan kematian.

“Kes buli Zara, katanya, bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia tetapi turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengimbas kes terdahulu, antaranya kejadian pada November tahun lalu di Kolej Vokasional Lahad Datu yang mengorbankan Mohammad Nazmie Aizat, 17, selepas dipukul 13 pelajar, serta kes penderaan terhadap Zulfarhan Osman Zulkarnain di Kolej Ketenteraan Nasional Malaysia pada Mei 2017.

Sehubungan itu, Masiung mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diwajibkan di semua bangunan sekolah dan asrama bagi memantau serta mengesan kes buli.

Pada majlis tersebut, beliau meluluskan peruntukan RM36,000 untuk pemasangan CCTV di Sekolah Menengah Entilibon, Penangah dan Tongod.