Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan petugas khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), pasukan khas yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota itu telah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.
Tindakan ini diambil sebagai langkah memastikan siasatan dijalankan dengan telus, profesional dan menyeluruh.
“PDRM memandang serius setiap kes kehilangan nyawa. Kami menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” jelas kenyataan itu.
Semalam, proses bedah siasat terhadap jenazah Allahyarhamah yang digali semula kelmarin telah selesai dijalankan pada sekitar jam 7 petang semalam di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI)
Peguam keluarga, Shahlan Jufri, yang turut menyaksikan proses selama lapan jam tanpa henti, mengesahkan terdapat kecederaan pada tubuh Allahyarhamah, termasuk patah, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.
Beliau memuji pihak forensik kerana melaksanakan prosedur secara telus dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Selesai bedah siasat, jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang, untuk dikebumikan semula pada petang yang sama dalam suasana penuh hiba.
Kes kematian Zara Qairina, 13, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Kinarut, terus mendapat perhatian nasional, dan kini berada di bawah pemantauan langsung pihak Bukit Aman.






