Dua Cedera, Isuzu D-Max Terbabas dan Langgar Tiang Elektrik di Kota Belud

Dua Cedera, Isuzu D-Max Terbabas dan Langgar Tiang Elektrik di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Dua lelaki cedera selepas kenderaan jenis Isuzu D-Max yang dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum melanggar tiang elektrik di simpang Kampung Rampaian, Kota Belud malam tadi.

Ketua Operasi, PBK I Sufian Aban dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 9.09 malam.

Susulan itu pihaknya telah menghantar sebuah jentera FRT dengan enam anggota serta sebuah EMRS dengan tiga anggota ke lokasi kejadian sejauh 15 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, kami mendapati seorang mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan tiba. Seorang lagi mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan penyelamatan RTA.

“Kedua-dua mangsa, masing-masing berusia 23 dan 22 tahun, mengalami kecederaan dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan jentera EMRS Bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu tamat sepenuhnya pada jam 10.03 malam setelah pemeriksaan di lokasi mengesahkan tiada lagi bahaya lain.