KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan antara Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor sebagai satu detik penuh makna yang mencerminkan kematangan politik dan semangat kebersamaan.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada malam Isnin Anwar berkata, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana harmoni.
“Ini sekali gus memperlihatkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama politik demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah.
“Saya percaya bahawa kestabilan politik adalah asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama rapat antara pemimpin negeri dan Persekutuan amat diperlukan bagi memastikan aspirasi rakyat dapat direalisasikan secara menyeluruh serta inklusif.
“Saya berharap semangat muafakat ini akan terus menjadi asas kepada perpaduan nasional yang lebih kukuh, demi masa depan Malaysia yang progresif, adil dan sejahtera untuk semua,” tambah beliau.






