GRS Bukan Kerajaan Gagal, 400 Inisiatif SMJ Bukti Kejayaan – Hajiji

GRS Bukan Kerajaan Gagal, 400 Inisiatif SMJ Bukti Kejayaan – Hajiji

0
SHARE

KOTA BELUD: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan pembangkang bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah kerajaan gagal, sebaliknya menegaskan pencapaian kerajaan negeri jelas membuktikan keberkesanan pentadbiran sedia ada.

“Jika benar GRS gagal, kita tidak akan mampu menyalurkan begitu banyak bantuan kepada rakyat, dan tidak akan mampu meningkatkan hasil negeri daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion hari ini.

“Pembangkang hanya tahu menyebarkan fitnah di media sosial. Semasa mereka berkuasa dua setengah tahun, tiada perancangan kukuh dibuat tetapi sekarang bercakap besar seolah-olah tahu segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Komuniti Sabah Maju Jaya (SMJ) bersama Ketua Menteri di Kampung Pantai Emas, di sini, pada Ahad.

Menurut Hajiji, sejak mengambil alih pentadbiran, kerajaan negeri telah memulakan kira-kira 400 inisiatif di bawah pelan pembangunan Hala Tuju SMJ, dengan 94 peratus daripadanya telah dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Bagi tempoh 2021 hingga 2024, kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.49 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 336,000 penerima bantuan kebajikan melalui pelbagai skim termasuk Skim Bantuan Am (SBAM) dan Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY).

Pada tahun ini sahaja, RM385.5 juta turut diperuntukkan bagi Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang membantu lebih 100,000 penerima daripada golongan miskin dan miskin tegar.

Seterusnya, bagi tahun 2025, kerajaan negeri memperuntukkan RM488.5 juta khusus bagi agenda pembasmian kemiskinan, dengan penggunaan Pangkalan Data Sabah (PADANs) untuk menentukan intervensi bersesuaian.

Hajiji turut menegaskan kerajaan negeri serius dalam membangunkan modal insan dengan membelanjakan RM1.33 bilion dalam sektor pendidikan, termasuk peningkatan biasiswa negeri kepada RM138 juta pada tahun ini berbanding hanya RM50 juta sebelum ini.

Selain itu, kerajaan juga memberi penekanan kepada sektor Ekonomi Biru sebagai sumber pertumbuhan baharu, di samping memperkukuh hasil daripada sektor minyak dan gas menerusi Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) bersama Petronas.

Mengulas dakwaan Warisan, Hajiji menegaskan bahawa Program Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) bukanlah inisiatif baharu parti itu, sebaliknya telah lama dilaksanakan sebelum mereka berkuasa.

“Saya perlu menyatakan perkara ini kerana saya tidak mahu rakyat di Kota Belud terpedaya dengan pembohongan pembangkang,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, Hajiji turut menyerahkan geran tanah PANTAS kepada 10 penerima mewakili 502 penerima lain, di samping menyampaikan bantuan kebajikan, kunci Rumah Mesra SMJ serta sumbangan kepada 66 buah sekolah di daerah Kota Belud.

Turut hadir, Ketua Penyelaras Sekretariat SMJ Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, ADUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan, ADUN Tempasuk Datuk Mohd Arsad Bistari, Presiden Usno Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Ketua Gagasan Rakyat Usukan Datuk Japlin Akim.