KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Kapayan hari ini menganjurkan program pengagihan percuma Bendera Sabah kepada penduduk sekitar Kapayan sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh sayap-sayap Gagasan Rakyat Bahagian Kapayan dengan matlamat menggalakkan masyarakat, khususnya golongan muda, mengibarkan bendera negeri dan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga serta cintakan tanah air.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kapayan, Datuk Dr. Stephen Jimbangan berkata, bendera bukan sekadar kain berwarna-warni, sebaliknya simbol perpaduan, kedaulatan dan identiti rakyat Malaysia, khususnya anak negeri Sabah.
“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah, kita menzahirkan rasa hormat, cinta, dan kesetiaan kepada negeri serta negara,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Mengulas mengenai insiden bendera dikibarkan secara terbalik baru-baru ini, Datuk Dr. Stephen menegaskan isu kecil tidak wajar dipolitikkan sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat untuk mengibarkan bendera.
“Kesilapan teknikal tidak sepatutnya dijadikan modal politik. Apa yang lebih penting adalah semangat rakyat untuk mengibarkan bendera dengan bangga dan ikhlas. Jangan kerana isu kecil ini, semangat patriotik rakyat luntur,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha bersama semua pihak amat penting bagi mengekalkan semangat kebangsaan, sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Semangat patriotisme yang subur akan menjadikan kita rakyat yang lebih bersatu, kukuh dan berdaya saing,” tambahnya.






