Pemuda UMNO Sabah Desak Lokman Adam Mohon Maaf Memperkecilkan Ketua Pemuda

Pemuda UMNO Sabah Desak Lokman Adam Mohon Maaf Memperkecilkan Ketua Pemuda

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menggesa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam supaya segera memohon maaf secara terbuka kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh, susulan kenyataannya yang dianggap memperkecilkan kedudukan pemimpin itu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim berkata kenyataan Lokman bahawa Dr. Akmal merupakan “Ketua Pemuda H2O” dan bukan Ketua Pemuda UMNO Malaysia merupakan tuduhan berat serta berunsur niat jahat.

“Kenyataan yang dilemparkan adalah amat berat dan serius. Ia boleh menjatuhkan reputasi YB Datuk Dr. Akmal Saleh sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

“Kami menggesa agar Datuk Lokman Adam tampil dan membuat permohonan maaf secara terbuka atas kenyataan melampau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sufian turut memberi amaran bahawa sekiranya tiada permohonan maaf dibuat, pihaknya akan mencadangkan supaya Lokman dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana melanggar Perlembagaan parti.

Beliau menegaskan bahawa budaya tidak sihat seperti fitnah serta tindakan memperlekehkan kepimpinan parti perlu dibendung demi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli.