Inkues Zara: Peguam Keluarga Dibenar Sebagai Pihak Berkepentingan, Permohonan Tangguh Ditolak

Inkues Zara: Peguam Keluarga Dibenar Sebagai Pihak Berkepentingan, Permohonan Tangguh Ditolak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan pasukan peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues berhubung kematian kanak-kanak berusia 13 tahun itu.

Wakil pasukan peguam keluarga, Shahlan Jufri berkata, kebenaran tersebut turut memberi akses kepada pihaknya terhadap semua dokumen berkaitan yang disediakan oleh pihak pendakwaan, namun tertakluk kepada empat syarat ditetapkan oleh mahkamah.

“Permohonan kami sudah dibenarkan dan kami akan menerima akses kepada dokumen. Cuma ada empat syarat yang perlu kami patuhi,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding permohonan selesai di sini, hari ini.

Dalam masa sama katanya, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam yang mewakili lima kanak-kanak tertuduh dalam kes Buli Zara di Mahkamah Kanak-Kanak sebelum ini untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Bagaimanapun, Shahlan menjelaskan pihaknya membantah permohonan itu, namun disebabkan tiada bantahan daripada Pejabat Peguam Negara, permohonan tersebut diluluskan oleh hakim.

“Kami agak kecewa dengan keputusan itu, kerana bagi kami pertempuran sebenar mereka sepatutnya berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak, bukan di inkues. Inkues ini tujuannya mencari kebenaran tentang apa yang berlaku kepada Zara, bukan untuk membela mana-mana pihak,” jelasnya.

Sementara itu, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan yang meminta inkues ditangguhkan. Keputusan itu dibuat selepas bantahan dikemukakan oleh pasukan peguam keluarga dan juga pihak pendakwaan.

“Sejak awal lagi kami mahu inkues ini dijalankan tanpa ditangguh-tangguh. Alhamdulillah, hujahan kami diterima dan mahkamah menolak permohonan penangguhan,” katanya.

Shahlan turut memaklumkan beberapa perkembangan lain termasuk laporan bedah siasat yang dijangka diserahkan pada 2 September, manakala senarai saksi pula akan diberikan selewat-lewatnya esok.

Prosiding inkues seterusnya akan berlangsung pada 3 dan 4 September dengan Hakim Koroner Amir Shah Hassan mengambil alih tugas daripada Azleena Aziz.

Beliau menambah, Mahkamah turut menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) untuk menjadi peguam pemerhati (watching brief).

Katanya, terlalu banyak pihak pemerhati boleh menimbulkan kerisauan mengenai kemungkinan maklumat inkues tersebar keluar, sedangkan ia merupakan prosiding terbuka yang boleh dihadiri sesiapa sahaja.

Dalam pada itu, Shahlan memaklumkan ibu kepada Allahyarham Zara, Noraidah Lamat, hadir ke mahkamah hari ini dan kelihatan tenang.

“Ibu Zara sangat bersemangat kerana inilah yang dinantikannya dari awal lagi. Apabila permohonan penangguhan ditolak, beliau gembira kerana prosiding inkues ini dapat diteruskan,” katanya.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina dijadual bermula 3 September ini dan dianggap penting bagi mencari kebenaran sebenar di sebalik tragedi yang meruntun hati rakyat Sabah.