KOTA KINABALU: Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dilihat berkesan bukan sahaja mengurangkan kadar jenayah berulang, malah turut membantu memecahkan stigma masyarakat terhadap bekas banduan.
Timbalan Pengarah Penjara Kota Kinabalu, Penolong Kanan Penguasa Penjara Yusli Yusof berkata, persepsi bahawa bekas banduan pasti akan mengulangi kesalahan perlu diubah.
“Rehabilitasi bukan tanggungjawab penjara semata-mata. Keluarga dan komuniti juga perlu memainkan peranan. Dengan sokongan mereka, stigma boleh dihapuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil pelepasan kepada 14 banduan, termasuk empat wanita, yang dibebaskan pada Khamis bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menurutnya, kesemua banduan yang dibebaskan adalah berisiko rendah dan masih berbaki antara 14 hari hingga kurang tiga bulan hukuman.
Mereka wajib bekerja sepanjang tempoh pelepasan di bawah pemantauan unit parol.
Ketua Unit Parol, Inspektor Kanan Saifuladli Awang berkata, sehingga kini seramai 516 banduan telah dilepaskan melalui program PBSL di Sabah tahun ini.
“Majikan yang mengambil mereka bekerja disaring terlebih dahulu. Penempatan dibuat mengikut kemahiran supaya banduan dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat,” jelasnya.
Yusli menambah, sokongan keluarga di Sabah amat menggalakkan kerana kebanyakan hadir menyambut pembebasan banduan.
“Pagi ini hampir semua keluarga hadir, kecuali yang tinggal jauh. Ini bukti mereka sanggup menerima kembali ahli keluarga,” katanya.






