
KOTA KINABALU, SABAH – “Saya tiada tinggal apa-apa lagi…rumah, duit simpanan RM4,000, emas dan pakaian saya semua hilang,” demikian luahan Intan Khadz, 70, seorang mangsa kebakaran di Skim Penempatan Telipok sini petang tadi.
Penghidap penyakit darah tinggi itu berkata dirinya hampir pengsan selepas melihat rumahnya yang juga sebuah kedai runcit hanya tinggal kayu hangus.
“Saya baru lepas menunaikan solat di rumah saudara yang berhampiran dan tiba-tiba menyedari kepulan asap serta orang menjerit dari arah rumah saya…

“Wang itu semua hasil simpanan Bantuan Warga Emas yang saya berniat untuk melabur bagi anak buah di rumah…syukur mereka sempat melarikan diri dengan selamat,” katanya.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah melaporkan sebanyak 26 buah rumah dan empat (4) kenderaan musnah dalam insiden pukul 1 petang itu.

“Tiada kemalangan jiwa berlaku,” kata Pegawai Kanan Operasi PKPgB Agustavia Guasi.
“Laluan masuk ke tempat kejadian adalah sangat sukar kerana jalan sempit manakala operasi pemadaman merupakan sebuah cabaran dengan sumber air yang sangat terhad…
“Pihak bomba dan orang kampung terpaksa merobohkan sebuah rumah bagi mengelak api terus merebak,” katanya sambil menambah operasi terkawal pada 2.23 petang selepas mendapat panggilan kecemasan pada 1.07 tengah hari.
Sumber bahagian Forensik Bomba pada lokasi berkata api dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebuah rumah.
“Kemungkinan besar ianya berpunca daripada sambungan wayar elektrik yang tidak selamat namun siasatan masih dijalankan,” katanya.

Lebih 115 keluarga tanpa rumah sekarang diberi pilihan penempatan sementara di sebuah dewan yang berhampiran.
Seorang lagi mangsa, Shalamar Abdul Rajan terpaku dihadapan tapak bekas rumah semasa ditemuramah.
“Tiada apa-apa yang dapat saya selamatkan. Dokumen pun tiada. Anak saya yang baru lahir boleh dijaga saudara tapi macamana dengan anak-anak yang lain…
“Rumah mereka sudah sesak dan tiada cukup ruang bagi ahli keluarga kami yang lain,” rintihnya.
