Generasi Muda Wajar Dilatih Untuk Punyai Ciri Kepemimpinan

Generasi Muda Wajar Dilatih Untuk Punyai Ciri Kepemimpinan

0
SHARE
JAHID Menerima cenderahati daripada OMBAK selepas merasmikan AGM persatuan tersebut di kedai Tenghilan Old School yang juga merupakan pusat Food Bank bagi membantu masyarakat yang terkesan akibat Pandemik COVID-19...

TAMPARULI, SABAH – Generasi muda wajar dilatih agar mempunyai nilai dan ciri kepemimpinan yang baik sebagai pewaris kepada sesebuah pertubuhan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, sebuah persatuan harus menyediakan pewaris kepada kepimpinan mereka agar mampu mengurus tadbir dan memimpin serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya kelak demi kebaikan persatuan berkenaan.

“Kita perlu melatih generasi muda supaya belajar daripada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka dan seterusnya dapat membimbing persatuan ke arah kejayaan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Orkestra Muzik Bambu Kinabalu (OMBAK), di bangunan Tenghilan Old School, sini kelmarin.

Jahid, yang juga Penaung OMBAK, berkata, banyak pertubuhan mempunyai nama yang besar di Sabah, tetapi tidak semuanya sampai ke satu tahap yang dapat memperkenalkan budaya Malaysia, Sabah, Tuaran dan khususnya Tamparuli di mata dunia.

“Sekecil mana pun nama OMBAK, sebenarnya telah banyak mengharumkan nama Malaysia, khasnya Sabah dan Tamparuli, menerusi program kebudayaan bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan dan disertai mereka…

“Pertubuhan ini telah banyak memberi sumbangan kepada kita terutamanya dalam memperjuangkan seni muzik tradisi di Sabah,” katanya.

Justeru beliau memberi saranan kepada OMBAK agar membuka peluang penyertaan ke persatuan itu kepada golongan muda agar menjadi pewaris mereka kelak.

“Pastikan mereka yang menyertai adalah yang benar-benar ikhlas berkhidmat bagi memperkenalkan kebudayaan kita dari segi muzik tradisi, mereka yang lebih bersemangat dan bukannya mengejar nama dan populariti semata-mata,” tegas beliau.

Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berharap agar sinergi seumpama itu diteruskan, agar ahli saling lengkap melengkapi, dengan harapan apa sahaja yang telah dirancang nanti dapat dijayakan dengan baik dan dipermudahkan.

Terdahulu, Presiden OMBAK, Jane Thing, menghargai kehadiran Jahid pada Mesyuarat Agung kali ini, dan berharap sokongan pemimpin tersebut akan meningkatkan lagi semangat semua ahli.

“Pada 2019, kita telah berjaya mengadakan beberapa aktiviti bertaraf antarabangsa, namun malangnya pada tahun lalu, kesemua aktiviti terpaksa dibatalkan akibat Pandemik COVID-19.”

Selepas Perasmian, Jahid bersama jawatankuasa tertinggi OMBAK melawat ke Tenghilan Pedestrian Underpass, terowong yang bakal diserahkan hak penjagaannya kepada persatuan tersebut tidak lama lagi…

Katanya, adalah menjadi satu kebanggaan beliau apabila OMBAK merupakan sebahagian daripada kumpulan yang banyak menyumbang kepada kemajuan muzik tradisi di negeri Sabah, khususnya Tamparuli.

“Semoga apa yang kita jalankan adalah menjurus kepada sesuatu yang boleh mengangkat budaya kita sehingga ke peringkat antarabangsa, justeru semua ahli disaran agar sentiasa memainkan peranan mereka bagi merealisasikan hasrat tersebut.”

Untuk rekod, OMBAK merupakan gabungan para penggiat seni muzik bambu, ditubuhkan lebih 20 tahun yang lalu, di mana selain menganjurkan Pesta Muzik Bambu di Tamparuli setiap tahun, mereka juga pernah mencatat nama di dalam Malaysia Book Of Record atas kejayaan bermain muzik bambu tanpa henti dalam tempoh lebih 24 jam.