JIM Sabah Tahan 65 PATI Di Ranau

JIM Sabah Tahan 65 PATI Di Ranau

0
SHARE
Tahanan PATI yang diarahkan untuk duduk semasa serbuan ke atas sebuah rumah kongsi di Kundasang...

RANAU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi besar-besaran pada pukul 12 tengah malam tadi.

Operasi Patuh Bersepadu tersebut menemukan 28 lelaki dan 15 wanita dewasa serta 22 kanak-kanak dalam 10 serbuan bersiri pada lokasi dalam daerah ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata individu terbabit berumur setahun sehingga 70 tahun.

“Operasi dilakukan berdasarkan kepada aduan awam yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Ranau…

“Seramai 173 orang diperiksa dan dengan kekuatan anggota seramai 67 orang pegawai Imigresen 27 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) empat orang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.

Jonathan (tengah) dalam sidang media selepas tamat operasi…

Pasukan itu tambah beliau telah menyapu rumah kongsi dan kuarters pekerja di Mesilau Golf Course Kundasang, MRSM, Tanah Merah, Jalan Kompleks Ranau Kg. Babukan, Kg Mesilou, Kundasang, Jalan Desa Cattle, Mesilou, Loji Tapak Pembinaan Tangki Air, Kundasang, Kg Sinisan, Pekan Kundasang dan Jalan Pinousuk, Ranau.

Kata Jonathan, tumpuan operasi turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini.

“Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi.”

Jonathan menyoal siasat tahanan PATI…

Katanya semua ditahan selepas disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen Imigresen 1959/63 iaitu menggunakan dan memiliki apa-apa permit masuk, pas, dokumen perjalanan dalam negeri atau perakuan yang palsu,” tambah beliau.

Semua tahanan juga diarahkan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan di depoh tahanan Imigresen seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“JIM Negeri Sabah ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat kepada JIM Sabah sehingga tertangkapnya sejumlah PATI yang tidak mematuhi undang-undang…

“Saya menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PATI di Negeri Sabah justeru itu, saya memohon kerjasama dari rakyat Sabah agar melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka,” tegasnya.