PUTRAJAYA – Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dalam satu kenyataan pada Jumaat meluluskan pendaftaran bersyarat dua lagi vaksin iaitu jenis Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan semasa pandemik COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi satu kenyataan memaklumkan, Kelulusan pendaftaran bersyarat memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
Ia dalam memastikan perbandingan manfaat risiko bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.
Vaksin Sinopharm dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited.
Vaksin J&J yang hanya memerlukan satu dos suntikan pula dibangunkan Janssen Pharmaceutica N.V. dari Belgium.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Noor Hisham berkata, KKM akan sentiasa mempertingkat tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
Langkah berkenaan menunjukkan kerajaan sentiasa komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).