LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) berjaya menahan empat individu termasuk dua warga tempatan dan dua warga asing dalam siri operasi membanteras penyalahgunaan dadah di sekitar daerah ini pada 31 Ogos hingga 1 September 2025.
Polis IPD Lahad Datu memaklumkan, tangkapan pertama dilakukan pada 31 Ogos, kira-kira jam 1.10 tengah hari apabila seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan di kawasan Jalan Reno Fajar.
“Pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.83 gram bernilai RM91.30 bersama empat gulungan foil. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
“Pada hari sama, lebih kurang jam 11.00 malam, seorang lagi lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan di Kampung Puyut, Jalan Pantai. Hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik berisi syabu seberat 0.50 gram bernilai RM55.00 serta dua gulungan foil.
“Ujian saringan air kencing mengesahkan suspek positif dadah, manakala semakan lanjut mendapati dia mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan sama,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.
Dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun turut ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah. Suspek juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Manakala pada 1 September, kira-kira jam 12.43 pagi, seorang lelaki warga Filipina berusia 38 tahun ditahan di Pejabat BSJND Lahad Datu selepas disahkan positif dadah melalui ujian air kencing.
Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kejayaan tangkapan ini membuktikan komitmen berterusan pihak polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti dadah. Operasi seumpama ini akan terus diperhebatkan bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat sentiasa terjamin,” katanya.






