Regatta Lepa Ke-28 Mulai 17 November Depan

Regatta Lepa Ke-28 Mulai 17 November Depan

0
SHARE
Christina
Christina (empat dari kanan) bergambar kenangan sambil memegang poster promosi Regatta Lepa Ke-28 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Regatta Lepa kali ke-28 akan berlangsung bermula 17 hingga 19 November depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pada tahun ini, acara itu akan dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPKAS) bersama-sama Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna.

“Acara Regatta Lepa ke-28 akan berlangsung selama tiga hari bermula 17 November ini di Dataran Regatta Lepa dan tema sambutan acara pada tahun ini adalah Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai aktiviti menarik disusun pada ketiga-tiga hari acara diadakan.

“Para pengunjung disajikan dengan pelbagai acara menarik menerusi Sanggom Maglami-lami antaranya persembahan koir, pertandingan ‘Budjang Manis’ dan ‘Lalla Dorogan’ selain perarakan tanglung berkonsepkan Lepa oleh pelajar-pelajar sekolah sekitar Semporna.

“Selain itu, turut diadakan pertandingan dan perarakan masuk Lepa cantik dan Lepa tradisi di samping acara sukan laut seperti pertandingan kayak dan pertandingan tarik tali atas perahu selain pameran daripada agensi dan jabatan,” ujarnya dalam sidang media Regatta Lepa Ke-28 Tahun 2023 di sini, pada Isnin.

Menurut beliau juga, acara berkenaan bukan hanya merayakan warisan budaya tetapi juga merangsang ekonomi tempatan dan mempromosi Semporna sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan sejarah.

“Regatta Lepa merupakan salah satu warisan dan tarikan yang terkenal di seluruh dunia dan ia berperanan sebagai pengikat budaya dan persatuan dalam kalangan masyarakat termasuklah dalam mempergiat sektor pelancongan.

“Kita berharap acara ini akan menjadi titik tolak yang bermakna bagi perkembangan industri pelancongan Sabah,” tambahnya.

Hadir sama, wakil Setiausaha Tetap KEPKAS, Alesia Sion, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Bugaya, Abdul Hussin Kiamsin dan wakil Pegawai Daerah Semporna, Samsiah Sabdan. — JABATAN PENERANGAN SABAH