TUARAN: Keberkesanan rawatan infertiliti di Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terbukti apabila sebanyak 6,249 kehamilan berjaya direkodkan sepanjang tahun 2024, menurut laporan prestasi LPPKN.
Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA-GRS), Datin Seri Datuk Juliah Salag berkata, seramai 29,163 individu telah mendapatkan rawatan kesuburan di klinik-klinik LPPKN di seluruh negara.
Sehubungan itu, LPPKN melaksanakan Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BUAI) yang menyasarkan 30,000 pasangan untuk menerima manfaat secara langsung. Daripada jumlah itu, 1,300 pasangan akan menerima pembiayaan sehingga dua kitaran rawatan Intrauterine Insemination (IUI).
“Program ini juga menekankan advokasi awal melalui kempen ‘Lebih Awal, Lebih Baik’, yang menggalakkan pasangan mendapatkan pemeriksaan serta rawatan pada peringkat awal,” katanya ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga Untuk Komuniti sempena pelancaran BUAI peringkat negeri Sabah di Dewan Sri Sulaman, hari ini.
Beliau menambah, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa 1 daripada 6 pasangan berkahwin di Malaysia menghadapi masalah kesuburan, membuktikan isu subfertiliti adalah masalah yang semakin meningkat dalam kalangan pasangan muda.
“Usaha advokasi dan bantuan klinikal amat penting supaya pasangan tidak merasa terpinggir. Kehadiran peserta dari Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu hari ini juga membuktikan kesungguhan komuniti dalam membincangkan isu penting ini,” katanya.
Acara tersebut merupakan siri terakhir pelaksanaan BUAI di peringkat negeri Sabah yang dianjurkan dengan kerjasama LPPKN dan MUTIARA-GRS.






