Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Dalam Mercedes Berkunci di Kimanis

Warga Emas Ditemui Meninggal Dunia Dalam Mercedes Berkunci di Kimanis

0
SHARE

KIMANIS: Seorang lelaki berusia 64 tahun ditemui meninggal dunia selepas terperangkap dalam sebuah kereta jenis Mercedes C200 yang terkunci di Kampung Kinolosodon, Kimanis petang semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 petang.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dengan enam anggota bergegas ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta berkunci. 

“Pasukan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi,” katanya.

Operasi yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai perubatan itu tamat sepenuhnya pada jam 7.43 malam.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.