TUARAN, SABAH – Seorang pelajar Politeknik ditemui lemas ketika beriadah bersama tiga orang rakan di pantai laut berhampiran Kampung Shahbandar tengah malam semalam.
Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Hasibillah Jihadi Maksum, 21, yang pada awalnya dilaporkan hilang dalam insiden 6.50 petang berkenaan.
Anggota penyelamat Bomba Tuaran telah melangsungkan pencarian di pesisir pantai dengan radius 700 meter sekitar lokasi Hasibillah terakhir dilihat sedang bermandi.
“Mangsa ditemui oleh orang awam di kawasan pantai pada jam 12.16 tengah malam,” lapor Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah…
Menurut sumber itu, mangsa seterusnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mayat telah diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.17 pagi.





