KOTA KINABALU: Suasana lokasi pasar malam Wawasan Plaza kecoh awal pagi tadi apabila sebuah khemah jualan terbakar sepenuhnya dalam kejadian kebakaran kira-kira jam 5.43 pagi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kebakaran turut memusnahkan dua van jenis Toyota Hiace yang terbakar separuh, manakala sebuah van Maxus V80 mengalami kerosakan kecil akibat bahangan.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi, dengan operasi diketuai PBK II Adanan Sapawi.
“Api berjaya dikawal pada jam 6.05 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.48 pagi.
“Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian,” kata pegawai jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.






