KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana memberi perhatian terhadap kebimbangan penduduk Kampung Kolopis berhubung projek Lebuhraya Pan Borneo.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau berharap penjelasan JKR dapat meredakan keresahan penduduk yang terlibat.
“Saya menghargai kesediaan Datuk Shahelmey dan pihak JKR memberikan penerangan serta berbincang mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya di sini hari ini.
Ewon yang kini sedang bercuti bagi persiapan menyambut kelahiran anaknya berkata, tanggungjawab beliau sebagai wakil rakyat tetap menjadi keutamaan.
“Kunjungan ini bertujuan membincangkan beberapa perkara, khususnya skop tambahan projek Pan Borneo melibatkan pembinaan culvert kotak untuk kenderaan ringan di Kampung Kolopis, yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penduduk,” jelasnya.
Beliau berkata, JKR bersama agensi berkaitan dan pihak berkepentingan akan mengadakan lawatan tapak esok bagi menanda rizab lebuh raya serta kawasan yang terlibat dengan projek berkenaan.
“Tiada rumah penduduk yang akan dirobohkan bagi pelaksanaan skop tambahan ini. Saya berharap perkara ini dapat memberi kejelasan dan ketenangan kepada penduduk yang terbabit,” tambahnya.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah beberapa wakil penduduk Kampung Kolopis iaitu Lofina, Nicholas dan Johnny.






