SANDAKAN: Tiga keluarga miskin di Dewan Undangan Negeri Gum-Gum sini kini memiliki kediaman baharu melalui Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Penyerahan kunci dilakukan oleh ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, di Kampung Sungai Kapor, Kitagas dan Garinono semalam.
Penerima ialah Amandi Asmat, Saharudin Abdul Kadir dan Sanah @ Kasema Saat.
Rumah dibina dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan sebagai agensi pelaksana.
Jaffari menegaskan program tersebut membuktikan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam menjaga kebajikan rakyat berpendapatan rendah.
“Rumah Mesra SMJ ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi lambang kepedulian kerajaan untuk rakyat menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.
Dilancarkan pada 2022, program ini dilaksanakan di semua 73 DUN dengan kerjasama PBT dan agensi daerah.
Jaffari berkata kerajaan akan terus memperluaskan pelaksanaannya agar lebih ramai rakyat merasai nikmat pembangunan seimbang.
Majlis turut disaksikan pemimpin masyarakat, pegawai MPS dan keluarga penerima yang jelas gembira dengan bantuan tersebut.






