KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, pada hari keenam semalam menyaksikan peguam yang mewakili salah seorang pesalah kanak-kanak dalam kes buli Zara, Datuk Ram Singh, menekankan kepentingan penilaian psikiatri forensik bagi memahami keadaan mental arwah ketika insiden berlaku.
Ram Singh berkata, hasil sesi locus in quo selama hampir dua jam di sekolah memberi penjelasan yang jelas mengenai kecederaan dialami arwah, termasuk luka di bahagian belakang kepala yang konsisten dengan kejatuhan ke dalam longkang.
Beliau menegaskan, simulasi menggunakan patung turut menyokong penemuan tersebut, sekali gus menolak kemungkinan arwah dijatuhkan atau dilempar oleh pihak lain.
Menurutnya, keterangan pakar patologi forensik, Dr. Jessie Hiu, dibuat berdasarkan kepakaran perubatan semata-mata tanpa sebarang pengaruh pihak berkepentingan.
Ram Singh bagaimanapun menegaskan, isu utama yang perlu diberi perhatian adalah aspek mental arwah ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
Katanya, penilaian psikiatri forensik penting bagi memahami faktor yang mungkin mendorong arwah terjatuh pada waktu tersebut.
“Kami bukan pakar psikiatri, hanya peguam yang membawa bukti melalui keterangan pakar. Oleh itu, kami mencadangkan agar mahkamah mendapatkan penilaian daripada psikiatri forensik kerajaan.
“Faktor umur, berat badan dan keadaan mental arwah ketika di asrama pada waktu berkenaan perlu diteliti secara menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Koroner.
Beliau memaklumkan, permohonan itu turut mendapat sokongan peguam keluarga arwah yang menganggap ia penting dalam membantu Koroner membuat dapatan yang tepat.
Ram Singh menambah, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengambil maklum cadangan tersebut dan menyatakan akan menelitinya sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Tujuan inkues adalah untuk membuat penemuan fakta yang benar, bukan sekadar andaian. Oleh itu, penilaian menyeluruh termasuk aspek psikiatri adalah amat penting,” katanya.






