Sabah Bangkitkan Isu Tambahan Kerusi Parlimen dalam Mesyuarat MTPMA63

Sabah Bangkitkan Isu Tambahan Kerusi Parlimen dalam Mesyuarat MTPMA63

0
SHARE

KUCHING: Sabah mengutarakan beberapa isu penting termasuk penambahan kerusi Parlimen bagi negeri itu dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Jumaat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata mesyuarat berlangsung dalam suasana mesra dan membuka ruang untuk perbincangan lanjut.

“Sabah mahu lebih banyak kerusi Parlimen diwujudkan selaras dengan semangat MA63 demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat.

“Secara prinsip, Perdana Menteri bersetuju tetapi ia perlu dibincangkan secara teknikal kerana melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan amat penting,” katanya selepas mesyuarat di Kompleks Satria Pertiwi.

Selain itu, Sabah turut mencadangkan agar sektor pelancongan dimasukkan dalam senarai bersama (concurrent list) untuk dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal.

Delegasi Sabah diketuai Hajiji bersama tiga Timbalan Ketua Menteri – Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya, selain Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ariffin Arif, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong.

Sementara itu, Hajiji menyambut baik pelancaran projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah-Sarawak Fasa 2 (SSLR 2) bernilai RM7.6 bilion yang disifatkan mampu meningkatkan rangkaian hubungan kedua-dua negeri, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

Delegasi Sarawak pula diketuai Premier Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.