KOTA KINABALU: Prosiding hari kesembilan inkues kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner hari ini mendedahkan bahawa seorang pelajar, yang dirujuk sebagai Pelajar A, telah berpindah sekolah hanya beberapa minggu selepas insiden menimpa pelajar tingkatan 1 itu.
Mahkamah Koroner dimaklumkan perpindahan pelajar itu tetap berlaku meskipun Kementerian Pendidikan dilaporkan telah membekukan pemindahan pelajar susulan tragedi tersebut.
Ketua Warden asrama, Azhari Abd Sagap (saksi kelapan), ketika disoal peguam keluarga Zara, Shahlan Jufri, mengesahkan perpindahan itu namun menyatakan beliau tidak mengetahui alasan mahupun proses kelulusan berkenaan.
Katanya, urusan tersebut bukan dalam bidang tugasnya, namun difahamkan permohonan perpindahan lazimnya melibatkan pengisian borang rasmi.
Shahlan: cikgu, saya difahamkan, pelajar A sudah pindah sekolah.
Azhari (saksi): Ya.
Shahlan: Jadi pelajar yang masih sekolah di SMKA itu B, C, D, dan E?
Azhari (saksi): Ya.
Shahlan: Saya difahamkan lepas kejadian Zara ini, Jabatan Pendidikan atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membekukan pemindahan pelajar ke sekolah lain, bagaimana pelajar A ini boleh pindah selepas arahan dibekukan?
Azhari (saksi): Bukan bidang tugas saya.
Shahlan: Bila pelajar ini pindah?
Azhari (saksi): Tidak ingat, tapi beberapa minggu selepas kejadian.
Beliau turut, menjelaskan bahawa empat lagi pelajar, iaitu B, C, D dan E, kekal bersekolah di sekolah tersebut dan masih menghuni asrama, dengan sebahagian daripada mereka terus memegang jawatan ketua dorm selepas insiden itu.
Menurutnya, hanya Pelajar E tidak lagi meneruskan peranan tersebut kerana mengalami trauma dan enggan kembali ke bilik asrama terbabit.
Selain itu, prosiding turut merekodkan keterangan bahawa dua pelajar, termasuk Pelajar A dan seorang lagi pelajar Tingkatan 1, Nurul Iman yang pernah berhasrat pulang ke rumah pada 17 Julai, namun tidak dibenarkan pihak sekolah.
Azhari berkata, beliau mengetahui perkara itu melalui perbincangan dalam kumpulan WhatsApp warden, namun tidak dapat memastikan sama ada ibu bapa mereka hadir ke sekolah pada tarikh berkenaan.






