Inkues Zara: Ketua Warden Sahkan Tidak Pernah Terima Aduan Dari Zara

Inkues Zara: Ketua Warden Sahkan Tidak Pernah Terima Aduan Dari Zara

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, sepanjang remaja itu tinggal di asrama sekolah berkenaan.

Azhari, 31, yang juga guru Bahasa Arab, berkata demikian pada hari kelapan prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Rabu.

Menurutnya, Zara ditempatkan di tingkat tiga Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain di bawah seliaannya.

Beliau menceritakan menerima panggilan pengawal keselamatan pada 3.04 pagi, 16 Julai lalu, sebelum mendapati Zara terbaring tidak sedarkan diri di longkang asrama.

“Saya nampak kesan darah di bucu longkang dan kecederaan pada pergelangan kaki mangsa,” katanya.

Azhari menghubungi talian kecemasan 991 dua kali sebelum ambulans tiba dan membawa Zara ke Hospital Queen Elizabeth, namun pelajar itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai. Beliau juga membuat laporan polis selepas kejadian.

Inkues dijalankan selepas Jabatan Peguam Negara mengarahkan kubur Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.