Jaga Kualiti Makanan, Kesihatan Diri – Arifin

Jaga Kualiti Makanan, Kesihatan Diri – Arifin

0
SHARE
Arifin
Arifin (dua dari kanan) menyantuni warga bazar Ramadan Membakut ( Sumber Foto: Ihsan KSTI Sabah )

MEMBAKUT, SABAH – Selain kualiti dan kebersihan makanan yang dijual, para peniaga bazar Ramadan juga perlu sentiasa menjaga kesihatan diri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif membuat gesaan itu dalam Program Walkabout Bazar Ramadan di Pekan Membakut, pada Rabu.

“Saya menggesa kepada semua pengusaha bazar supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti makanan yang mereka sajikan, yang mereka jual.

“Kita juga berharap agar bazar kali ini akan membawa keuntungan kepada semua peniaga dan paling penting, mereka (peniaga bazar) perlu menjaga kesihatan hingga Aidilfitri nanti kerana sekarang ini kita berdepan dengan cuaca yang agak panas,” katanya ketika ditemui media.

Terdahulu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut bersama Pegawai Eksekutif Daerah Membakut mengadakan pertemuan dengan 92 peniaga bazar Ramadan dan menyampaikan sumbangan di Dewan Kesenian Islam Membakut.

“Saya sempat bertemu dengan semua pengusaha bazar untuk bersilaturrahim dan membantu sedikit sebanyak.

“Saya berharap mereka dapat memanfaatkan ruang ini dengan menjadikan bazar sebagai salah satu mata pencarian,” jelas beliau.

Dalam program berasingan, Arifin juga menyampaikan Bingkisan Ramadan 1445H kepada Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan ketua-ketua adat dari 36 buah kampung dalam DUN Membakut.

“Hari ini kita mengagihkan Bingkisan Ramadan yang kita adakan setiap tahun untuk semua rumah di seluruh DUN Membakut ini dan kita berharap ia dapat dimanfaatkan sebagai cenderamata daripada kita sempena bulan Ramadan,” ujarnya di Dewan Seri Wawasan.

Lebih 4,000 helai sejadah serta kurma dan buku kecil zikir diagihkan kepada JKKK antaranya JKKK Kampung Mandangin, Kampung Lambunau/ Layun, Kampung Lumat, Kampung Bingkulas, Kampung Tiong Baru, Kampung Jambatan Baru, Kampung Mawao, Kampung Bambangan, Kampung Lembah Poring, Kampung Brunei, Kampung Binsulok, Kampung Bawan, Kampung Tandoi, Kampung Gana, Kampung Bandau dan lain-lain. — JABATAN PENERANGAN SABAH