Sistem Air Minum Bertenaga Solar Diperluas ke Kawasan Pedalaman Sabah

Sistem Air Minum Bertenaga Solar Diperluas ke Kawasan Pedalaman Sabah

0
SHARE

TUARAN, 24 Sept – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa syarikat Jetama Sdn Bhd memperluaskan pemasangan sistem air minum penapisan nano bertenaga solar ke lebih banyak kawasan pedalaman negeri ini.

Menurut beliau, sistem yang dibangunkan syarikat tersebut mampu membekalkan air terawat daripada telaga tiub kepada kampung-kampung yang sebelum ini tidak mendapat bekalan air bersih.

“Penduduk Kampung Baru-Baru sebelum ini tidak pernah menikmati air terawat kerana lokasi kampung terlalu jauh dari paip utama.

“Terima kasih kepada Jetama kerana membawa kemudahan ini ke sini,” katanya selepas meninjau kemudahan baharu yang dipasang di kampung berkenaan.

Sistem tersebut menggunakan tenaga solar atau bank bateri untuk menjalankan proses rawatan air, sekali gus menjadikannya sesuai digunakan di kawasan luar bandar dan pulau-pulau.

Dengan kos kira-kira RM1.2 juta, sistem mudah alih itu mampu menghasilkan sehingga 30,000 liter air terawat sehari.

Ia turut dilengkapi dengan sensor dan pengawal pintar bagi memantau kualiti air serta menyesuaikan operasi mengikut keperluan.

Air yang dirawat kemudian disimpan dalam tangki sebelum diagihkan melalui paip atau sistem pengagihan ke rumah-rumah.

Hajiji berkata pihaknya telah meminta Jetama mempertimbangkan pemasangan sistem tersebut di lebih banyak kampung pedalaman di Sabah.

Turut hadir pada lawatan itu ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya dan Pengerusi Jetama, Datuk Yusuff Manan.