KOTA KINABALU, SABAH – Polis daerah ini berjaya menyelesaikan tiga (3) kes samun dalam tempoh 24 jam yang berlaku pada Sabtu sehingga Isnin (16 Januari) lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata kes pertama bertempat di tempat letak kenderaan di sebuah apartment, sini, pada jam lebih kurang 10.20 pagi.

“Mangsa seorang wanita telah disamun oleh seorang lelaki dengan jumlah kerugian keseluruhan lebih kurang RM18,000.
“Pada keesokan hari (Ahad), pihak polis telah berjaya menangkap seorang lelaki berumur 21 tahun yang terlibat dengan kes samun ini manakala suspek kedua seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan semalam (Khamis),” katanya.
Kes samun berkawan kedua pada Sabtu, lebih kurang jam dua pagi melibatkan seorang pemandu ‘e-hailing’ yang disamun oleh dua orang suspek di kawasan Menggatal.
“Mangsa telah dipaksa membuka cermin kereta dan salah seorang saspek telah merampas beg silang serta dompet milik mangsa dan mengambil wang tunai sebanyak RM70.
“Pada hari yang sama, pihak polis telah berjaya menangkap satu saspek lelaki berumur 35 tahun dan satu saspek wanita berumur 36 tahun,” jelasnya.
Kes samun ketiga pula berlaku pada hari yang sama (Sabtu) pada jam 8 malam di kawasan Sulaman Sentral melibatkan seorang pelajar perempuan.
“Akibat pergelutan dan diseret dalam kejadian ini, mangsa telah mendapat kecederaan ringan.
“Keesokan harinya, pihak polis berjaya menangkap tiga (3) suspek lelaki berumur antara 23 hingga 30 tahun di daerah Tuaran dan merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa serta sebuah kereta yang digunakan oleh saspek dalam kes samun,” Zaidi berkata dalam sebuah kenyataan.
Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada orang awam yang telah membantu menyalurkan maklumat sehingga pihaknya berjaya menyelesaikan ketiga-tiga kes samun terbabit dalam tempoh 24 jam.





