KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan anggota Bomba Sabah memindahkan 15 orang yang terperangkap dalam banjir di pangsapuri University Condo Apartment (UCA) 2, Menggatal, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah menerima panggilan kecemasan tersebut melalui talian MERS 999 pada pukul 10.48 pagi.
Pegawai Operasi, PBK II Laupen Nuar berkata, antara mangsa insiden adalah seorang lelaki, Zamree Zailani, 27 tahun yang cedera di bahagian kaki.
“Mangsa terdiri daripada dua (2) keluarga iaitu sembilan (9) dewasan dan empat (4) kanak-kanak yang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih tinggi…
“Mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan seterusnya mangsa dihantar ke hospital,” katanya sambil menambah operasi tamat pada jam 12.39 tengah hari.
Sementara itu, pihak Bomba menasihati pihak pengurusan pangsapuri Country Heights di Penampang untuk melantik kontraktor.
Hal itu merujuk kepada kerja-kerja pengalihan tanah runtuh dan laluan air sementara bagi mengelakkan kejadian lebih teruk.

Pada mulnya, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas telah bergegas ke tempat kejadian berhubung kes tanah runtuh pada jam 9.58 pagi.
Pegawai Operasi PBK II KUP Mohd Hasrulnizam Zaini pasukannya membuat pemeriksaan di kawasan sekitar bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dilokasi.
“Tiada mangsa yang terlibat dan operasi ditamatkan kira-kira 40 minit selepas itu,” katanya.





