PAPAR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia semalam, selepas lemas ketika bermandi-manda bersama rakan-rakan di Kampung Benoni, Papar, pada petang Selasa lalu.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam (23 September) berhubung kejadian tersebut.
“Pasukan pertama seramai sembilan anggota diketuai PBK II Nadzri Rashid segera digerakkan ke lokasi dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai tergelincir di tepi calvert sebelum tenggelam lalu dihanyutkan arus deras ke arah sungai berhampiran. Usaha mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan dengan kaedah “Water Surface” di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Pada jam 9.10 malam, pasukan tambahan seramai sembilan anggota tiba di lokasi bagi memperluas radius pencarian dari 60 hingga 250 meter sepanjang persisiran sungai. Namun, operasi malam itu ditangguhkan pada jam 10 malam selepas tiada petunjuk baharu.
Pencarian bersambung pada hari kedua (24 September) bermula jam 7 pagi dengan bantuan sebuah bot NADMA dan sebuah bot milik penduduk kampung.
“Pasukan penyelamat menumpukan pencarian di sekitar persisiran sungai di lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Akhirnya, pada jam 9.08 malam, mayat mangsa ditemui kira-kira 12 meter dari lokasi kejadian. Pasukan perubatan KKM yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia, sebelum diserahkan kepada pihak polis (PDRM) untuk tindakan lanjut,” tambah kenyataan itu.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 malam.
Operasi melibatkan kekuatan 9 anggota bomba, selain turut dibantu oleh PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mangsa kemudian dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk urusan selanjutnya.






