Kempen Politik Autentik Penting Untuk Tarik Golongan Muda – Penyelidik UMS

Kempen Politik Autentik Penting Untuk Tarik Golongan Muda – Penyelidik UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penganjur kempen politik dalam Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang perlu mengamalkan strategi media sosial yang autentik dan berfokuskan anak muda bagi memastikan golongan pengundi baharu ini benar-benar terlibat.

Menurut kajian oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Latif Lai, walaupun Gen Z merupakan pengguna tegar platform seperti TikTok dan Instagram, penglibatan mereka dalam politik masih pasif kerana lebih cenderung menonton kandungan berbanding menyumbang kepada wacana politik.

Kajian bertajuk “Beyond the Ballot: Measuring Political Literacy in the Age of Social Media” itu mendedahkan wujud jurang besar antara penggunaan media sosial yang tinggi dengan tahap literasi politik dan penglibatan sebenar dalam kalangan anak muda.

“Walaupun Gen Z menunjukkan tahap kecekapan politik yang sederhana, ketidakpadanan dengan pemahaman fakta menjadikan mereka mudah terdedah kepada maklumat palsu,” katanya ketika membentangkan hasil kajian pada 3rd Regional Symposium on Social Sciences and Humanities Issues di sini, pada Rabu.

Berdasarkan tinjauan terhadap 344 pelajar universiti di Sabah, Dr. Latif menyimpulkan kaedah kempen tradisional secara top-down tidak lagi berkesan.

Katanya, parti politik perlu menggunakan pendekatan interaktif dan visual yang lebih dekat dengan isu anak muda seperti kos sara hidup, pekerjaan dan kesihatan mental di platform media sosial yang mereka sering gunakan.