Johainizamshah Tempelak UMNO: GRS Tidak Khianati Sabah

Johainizamshah Tempelak UMNO: GRS Tidak Khianati Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag, Johainizamshah Johari, menolak dakwaan UMNO Sabah terhadap kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menyifatkannya sebagai fitnah dan taktik kotor.

Beliau menegaskan video yang dikaitkan dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, hanyalah cubaan memburukkan nama GRS, malah berkemungkinan disunting untuk menimbulkan persepsi negatif.

“Jika benar ada pelanggaran undang-undang, buat laporan kepada pihak berkuasa, jangan bersandiwara meraih simpati politik murahan,” katanya.

Johainizamshah menegaskan kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, tidak pernah mengeluarkan kelulusan lesen perlombongan, dan tuduhan sebaliknya berniat jahat untuk mengelirukan rakyat.

Beliau turut menyelar sikap UMNO yang lantang menyerang pihak lain, tetapi berdiam diri apabila pemimpin utama mereka sendiri berdepan kes rasuah.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin berani dan berprinsip kerana tidak tunduk kepada tekanan politik, malah berjaya membawa Sabah ke arah pemulihan ekonomi serta memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“GRS tetap teguh dan tidak akan menggadaikan maruah negeri. Rakyat Sabah kini tidak mudah diperdaya dengan politik sempit,” tegasnya.