Jeffrey Selesai Beri Keterangan 5 Jam Setengah di SPRM

Jeffrey Selesai Beri Keterangan 5 Jam Setengah di SPRM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan, selesai memberi keterangan selama lima jam setengah di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kota Kinabalu semalam.

Jeffrey tiba di pejabat SPRM sekitar jam 5.30 petang dan hanya keluar kira-kira jam 11 malam, sebelum disambut oleh beberapa pegawai serta penyokong parti.

Setiausaha Politik beliau, Anuar Ghani, berkata Jeffrey memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang sesi siasatan.

“Beliau telah melengkapkan keterangannya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menjalankan tugas mereka.

“Kita minta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati proses undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Anuar turut mengingatkan agar isu tersebut tidak mengalihkan perhatian rakyat daripada perkara pokok.

“Tumpuan rakyat Sabah sepatutnya kepada isu lebih besar seperti hak 40 peratus hasil negeri, hak wilayah minyak dan gas, mitigasi banjir, perubahan iklim, keselamatan makanan serta kebajikan rakyat. Itu yang memerlukan fokus kolektif kita,” jelasnya.

Menurutnya lagi, keadaan semasa tidak wajar dimanipulasi bagi merosakkan imej pemimpin Sabah.

“Jika keyakinan rakyat terhadap kepimpinan tempatan terhakis, ada kebimbangan rakyat akan berpaling kepada pihak luar yang kononnya lebih bersih.

“Ini akan membuka ruang parti dari Semenanjung menjejaskan kedaulatan politik Sabah,” tegasnya.

Sementara itu, sejurus keluar dari pejabat SPRM, Jeffrey hanya memberi komen ringkas: “Kita kini fokus kepada rakyat dan pilihan raya,” katanya.

Turut kelihatan mengiringi beliau ialah peguam Dominic Ghani, pengawal peribadi Clement Liew, setiausaha peribadi Rizal Johari dan ahli STAR, Datuk Jerry Ambuting.