Lori 10 Tan Terbabas di Bukit Perapat Kimanis, Pemandu Cedera

Lori 10 Tan Terbabas di Bukit Perapat Kimanis, Pemandu Cedera

0
SHARE

KIMANIS: Seorang lelaki berusia lingkungan 40-an cedera selepas lori jenis Nissan Diesel 10 tan yang dipandunya terbabas sendiri di bahu jalan dalam satu kemalangan di Jalan Belakang, Bukit Perapat pada pagi Selasa.

Menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah, panggilan berhubung insiden itu diterima pada jam 6.05 pagi melalui talian balai.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dengan kekuatan enam anggota bergegas ke lokasi sejauh 17 kilometer dan tiba pada jam 10.40 pagi.

Komander Operasi, PBK I Nazir Chek Lah berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah lori muatan tanah yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan dan telah dikeluarkan serta dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan sekitar kawasan kemalangan bagi memastikan tiada risiko kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.44 pagi.

Tiada agensi lain terlibat dalam operasi ini.

Operasi dikendalikan menggunakan satu jentera CFRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Vigo.