KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) mengumumkan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), dengan sokongan penuh terhadap keputusan presidennya, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat GRS dilaporkan menawarkan sehingga 23 kerusi kepada Pakatan Harapan (PH), berbanding cadangan asal STAR yang hanya membenarkan PH mempertahankan tujuh kerusi sedia ada.
Ketua Penerangan STAR, Anuar Ghani, menyifatkan tawaran tersebut bercanggah dengan sentimen rakyat Sabah.
Dr. Jeffrey menegaskan pendirian parti berasaskan suara akar umbi.
“Rakyat yang menentukan dan yang mengundi. Bagaimana saya boleh menentang rakyat?” katanya ketika mengulas keputusan parti.
Menurutnya, STAR tidak akan bersekongkol dengan gabungan yang memberi laluan besar kepada parti Semenanjung.
“Perjuangan kami adalah memastikan Sabah ditadbir sepenuhnya oleh parti tempatan, demi maruah, keadilan dan masa depan negeri,” jelasnya.
STAR yakin langkah bertanding secara solo merupakan pengorbanan berani demi melaksanakan prinsip “Sabah for Sabahan” dan memperjuangkan “Justice for Sabah”.






