Aktivis Global Sumud Flotilla Berkemungkinan Ditahan di Penjara Negev

Aktivis Global Sumud Flotilla Berkemungkinan Ditahan di Penjara Negev

0
SHARE

KOTA KINABALU, 3 Oktober – Aktivis kemanusiaan antarabangsa yang ditahan selepas armada bantuan Global Sumud Flotilla dipintas oleh tentera laut Israel dijangka ditempatkan di Penjara Ketziot, sebuah penjara yang terkenal dengan kekejaman dan penyeksaan di Gurun Negev, Israel.

Menurut laporan Reuters pada 2 Oktober, selepas kapal flotilla dibawa masuk ke Pelabuhan Ashdod, semua aktivis menjalani proses pengenalan identiti dan pemeriksaan imigresen sebelum dipindahkan ke fasiliti tahanan.

Sumber menyatakan bahawa Israel sedang mempertimbangkan untuk menempatkan mereka di Ketziot berikutan jumlah aktivis yang ditahan amat besar, dianggarkan mencecah 500 orang.

“Penjara Ketziot atau lebih dikenali sebagai Penjara Negev lazimnya digunakan untuk menahan rakyat Palestin yang dituduh atas kesalahan politik dan keselamatan.

“Ia jarang sekali digunakan bagi tahanan imigresen, justeru langkah ini dianggap luar biasa,” kata sumber itu.

Pakar undang-undang antarabangsa, Omer Shatz, berkata penggunaan Ketziot bagi menempatkan aktivis flotilla adalah tidak sesuai, namun langkah itu mungkin diambil kerana alasan logistik.

Dalam cubaan flotilla terdahulu, aktivis yang ditahan tidak didakwa dengan sebarang jenayah.

Mereka sebaliknya diproses sebagai kes imigresen dan dideportasi. Individu yang menandatangani perintah deportasi biasanya dihantar pulang segera, manakala yang enggan menandatangani ditahan lebih lama dan berdepan sekatan masuk ke Israel sehingga 100 tahun.

Organisasi hak asasi Israel, Adalah, mengesahkan pihaknya menawarkan sokongan guaman kepada aktivis yang kini dalam tahanan. Adalah turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebajikan aktivis berkenaan, termasuk akses mereka kepada peguam, hak perbicaraan imigresen serta keadaan kemanusiaan sekiranya mereka benar-benar ditempatkan di penjara itu.

Sehingga kini, pihak berkuasa Israel masih belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai lokasi sebenar semua aktivis ditahan.

Namun laporan antarabangsa memberi gambaran bahawa Penjara Negev menjadi lokasi paling mungkin untuk menempatkan mereka sementara menunggu keputusan deportasi.